Fungsi utama Jabatan Audit Negara adalah untuk membantu meningkatkan
akauntabiliti, integriti dan tadbir urus awam melalui pengauditan dan pelaporan yang berkualiti.
Pengauditan yang dilaksanakan dengan cekap dan berkesan akan menghasilkan laporan audit
yang berimpak tinggi dan memberi nilai tambah kepada pengurusan organisasi auditi
khususnya dan sistem penyampaian Kerajaan amnya.
Kebebasan, kuasa dan tanggungjawab Juruaudit Sektor Awam meletakkan keperluan
etika kerja yang tinggi kepada sesebuah institusi audit dan kakitangan yang melaksanakan
tugas pengauditan. Dalam hubungan ini, setiap Juruaudit perlu mengamalkan nilai etika,
kesopanan dan kesusilaan pada tahap tertinggi supaya semua kerja pengauditan dilakukan
dengan penuh bertanggungjawab, telus dan jujur. Selaras dengan itu, adalah penting bagi
setiap Juruaudit menerap dan mengamalkan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Rukunegara.
Kod Etika Juruaudit adalah sebuah dokumen kod tingkah laku berdasarkan kepada
tanggungjawab moral dan obligasi yang menerangkan bagaimana seseorang Juruaudit perlu
berkelakuan. Kod Etika ini merupakan pernyataan komprehensif mengenai prinsip dan nilai
yang menjadi sebagai panduan kepada urusan kerja harian semua pegawai dan kakitangan
Jabatan yang menjalankan kerja pengauditan. Ia juga meliputi semua Juruaudit berjawatan
kader di semua Bahagian Audit Dalam Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan bagi menjamin
kredibiliti Juruaudit yang dibekalkan oleh Jabatan.
Kod Etika Juruaudit ini digubal berasaskan kepada prinsip utama yang terkandung
dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Audit 1957, Nilai Dan Etika Dalam Perkhidmatan
Awam, INTOSAI Code Of Ethics 1998, International Standard of Supreme Audit Institutions
(ISSAI 30 – Ethics), Pekeliling serta Arahan Kerajaan serta Manual Prosedur Kerja. Kod Etika
Juruaudit ini juga mengambil kira tata kelakuan sebagai penjawat awam secara amnya dan
keperluan tertentu sebagai Juruaudit.
Kod Etika Juruaudit dirangka dan dibina di atas kata kunci seperti berikut iaitu integriti;
kebebasan, objektiviti, adil dan saksama; kompetensi dan kerahsiaan. Konsep ini
menitikberatkan kepada tingkah laku yang baik, berbudi pekerti yang luhur dan keperibadian
mulia semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi meyakinkan semua pihak terhadap
integriti dan kredibiliti Jabatan.
No comments:
Post a Comment